Semalam aku dan pimpinan kawasan ke Majlis sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama'.
Program satu hari suntuk itu memberi info dan tarbiyah yang amat berguna kepada ahli gerakan Islam, kerana di samping mengeratkan Silaturrahim juga menanamkan suatu kefahaman yang jitu bahawa hanya Islam sahaja yang dapat mengurus semua sistem kehidupan.
Di bawah ini aku lampirkan pesanan dari blog sahabat.....
PENGHAYATAN KONSEP KEPIMPINAN ULAMA’ DALAM PAS
Suatu penjelasan menarik dari Almarhum Dato’ Fadzil Noor yang sempat saya cari dari arkib sejarah Pas berhubung konsep kepimpinan Ulama’ dan bagaimana kumpulan Profesional boleh memimpin Pas suatu masa nanti dalam keadaan mereka memahami tuntutan islam dan beramal sebagaimana golongan Ulama’ lainnya dengan penuh tawadduk. Dalam erti kata lain, Profesional juga boleh menjadi ulama’ jika mereka berusaha ke arah itu, dan ketetapan bahawa Ulama’ diberi keutamaan dalam memimpin itu tidak boleh dinafikan sewenang-wenangnya.
OLEH ALMARHUM DATO’ HAJI FADZIL MOHD NOOR
Penubuhan Persatuan Islam Se Tanah Melayu (PAS) pada tahun 1951 yang kemudian dikenali dengan Parti Islam SeMalaysia adalah dipelopori oleh ulama’ dan mereka yang mendapat pendidikan agama kerana mereka merupakan golongan yang lebih memahami Islam dan semangat menentang penjajahan.
Mereka jugalah yang banyak memegang peranan memimpin dan mengembangkan PAS diseluruh tanah air.
Tanpa diminta para pendukung dan ahli-ahli PAS telah meletakkan mereka sebagai pemimpin meskipun di dalam Perlembagaan PAS yang awal tidak menyebutkan tentang syarat-syarat kepimpinan.
Tetapi sudah menjadi suatu yang difahami, ulama’lah yang dianggap lebih berwibawa untuk memimpin sesebuah gerakan Islam termasuk PAS.
Keadaan ini terus berjalan sehinggalah kepada suatu keadaan di mana sebahagian ahli-ahli PAS merasakan seolah-olah ulama’ tidak diberi peranan utama di dalam PAS.
Mereka mendesak supaya satu perubahan yang lebih tegas dibuat bagi membolehkan ulama’ itu memimpin. Suatu pindaan kepada Perlembagaan PAS telah dibuat dengan penubuhan suatu majlis yang dikenali dengan Majlis Syura Ulama seperti yang tersebut di dalma Fasal 7 (3) (4) Perlembagaan PAS Pindaan 1993, menyebutkan:
Bagi menjamin kekuasaan PAS yang diperuntukan dalam ceraian (2) di atas dan badan-badan yang diberi kuasa oleh Muktamar Tahunan dan oleh mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan ini tidak terkeluar daripada kehendak-kehendak yang diperuntukan dalam Fasal 7 (1) dan tidak berlawanan dengan dasar PAS seperti yang diperuntukan dalam Fasal 3 Perlembagaan ini, maka hendaklah ditubuhkan sebuah majlis yang dinamakan Majlis Syura Ulama’ dan diberi kepadanya kuasa-kuasanya berikut:
a) Menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan ini yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya.
b) Mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS.
c) Memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib PAS dan melantik ahli-ahli jawsatankuasa tatatertib PAS seperti yang diperuntukan dalam Fasal 75 perlembagaan ini.
Ahli-ahli Majlis Syura Ulama’ hendaklah terdiri dari 15 orang dan tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut:
d) Seseorang yang hendak dilantik menjadi ahli Majlis Syura Ulama’ itu hendaklah seorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (Al Usul) dalam syariat Islam dan hukum-hukum atau dan dapat merujuk masalah-masalah itu kepada Al-Quran, Al Sunnah Ijmak dan Qisas dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar dan hendaklah seorang yang adil yakin tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah seorang ahli PAS.
Fasal tersebut telah memberi penegasan tentang peranan penting yang mesti dilaksanakan oleh para ulama’ di dalam PAS serta sifat-sifat ulama’ yang layak memduduki Majlis Syura tersebut.
Bagi kita ulama’ bukanlah dilihat dari segi pakaian lahirnya tetapi yang kita maksudkan ulama’ ialah mereka yang memahami Islam serta hukum-hukumnya dari sumber-sumber Islam yang diijmakkan iaitu Al-Quran, Al-Sunnah, Al-Ijmak dan Al-Qias. Mereka bukan sahaja terdiri dari kalangan yang mendapat pendidikan dan melalui pengajian agama sejak awal pengajian mereka tetapi mereka juga mumgkin terdiri dari kalangan yang pada peringkat awalnya bukan melalui pengajian agama tetapi kemudiannya berusaha untuk mendapat ilmu-ilmu keIslaman seperti yang berlaku di dalam sebahagian dari kepimpinan Islam di dunia sekarang ini.
Lantaran itu bukanlah suatu yang mustahil PAS akan dipimpin oleh mereka yang awalnya bukan mendapat pengajian agama tetapi mereka berjaya melayakkan diri memahami dan menguasai ilmu-ilmu keIslaman dan mendapat kepercayaan sebagai pemimpin.
Kita telah memberi penekanan terhadap cirri-ciri yang perlu dimiliki ulama’ di dalam melayakkan mereka menerajui kepimpinan PAS di dalam dekad-dekad yang akan datang sesuai dengan cabaran-cabaran yang semakin sofistikated.
Kita telah menyatakan suasana dan permasalahan yang sedang kita alami ini memerlukan kepimpinan ulama’ berijtihad di dalam pelbagai isu yang sedang mendesak ini.
Kepimpinan Islam perlulah memiliki ciri-ciri khas iaitu kepimpinannya adalah kombinasi dari pelbagai unsur terbaik seperti yang pernah ditampilkan oleh kepimpinan Rasulullah SAW dan para sahabat RA iaitu selain ketaqwaan yang tinggi ia mestilah sensitif dengan masalah-masalah semasa, berpandangan jauh, mampu merancang dan membentuk masa depan ummah, bersikap terbuka dan tolenrasi dalam batas-batas yang dibenarkan oleh Islam.
Bekerja sebagai kumpulan professional, proaktif dan memperlihatkan ketrampilan sebagai pimpinan sejati. Ini ciri-ciri yang amat diperlukan.
1 comment:
bersama pimpinan ulama'.walau apapun terjadi,kita tetap berada di dalam saf yang tersusun kukuh.
Post a Comment